Menonton Romance is a Bonus Book

Terus-terang saya katakan, saya dinamik.

Begini. Saya boleh menonton dengan tekun Inception, menghurai dengan mendalam Interstellar, dan mencanang kepada ramai orang untuk menonton The Platform.

Tetapi saya tidak boleh membiarkan diri saya terpenjara dengan kebengisan plot atau jalan cerita. Saya tidak boleh membeban diri dengan kekosongan yang wujud dalam The Platform.

Saya tetap akrab dengan Midnight In Paris, Notting Hill, trilogi Before. Saya tetap mahu menonton The Internship banyak kali kerana saya sangat meminati Anne Hathaway. Saya semalam menciap di lama Twitter sendiri, ada drama atau filem yang plotnya ringan, yang mana tujuannya memang untuk meringankan bebanan perasaan kita.

Sebagai manusia, kita sangat memerlukan happy ending. Samada secara mimpi, atau realiti.

Justeru filem atau drama yang mudah, ringan, banyak babak di mana dialognya memujuk, mendalam, dan meneroka mandala perasaan malah menggodam kejujuran, sebenarnya sangat mudah menyentuh perasaan kita – sebagai penonton.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Kedua lagi saya sudah mula menonton Romance is a Bonus Book.

Yang beria suruh saya menonton drama bersiri Korea ini ialah isteri saya sendiri.

Saya mempunyai masalah dengan banyak drama bersiri Korea (kini sesetengahnya) kerana terlalu draggy. Banyak babak yang saya kira tidak perlu. Imbas balik sahaja sudah makan banyak masa dalam sesebuah episod.

Tetapi kerana Romance is a Bonus Book bercerita tentang buku, saya tekad untuk bersabar kerana saya tahu sangat, Korea mempunyai konsep yang tersendiri dalam menyusun cerita dan menyunting cerita mereka.

Hari ini, saya sudah sangkut dengan Romance is a Bonus Book dan tidak boleh berhenti dari memikirkan apa yang bakal terjadi. Satu lagi drama yang banyak mengajar saya untuk menyusun jalan cerita dengan baik dan kemas.

Ya, kerana saya seorang novelis. Saya perlu banyak merenung dan merangka cerita. Semasa Surat-surat dari Maninjau keluar, orang berterima kasih kepada saya kerana wacananya, tetapi ramai penulis mapan menyarankan saya merangka jalan cerita yang lebih kemas.

Seminggu ini saya banyak menconteng idea-idea. Saya banyak memikirkan serinci-rincinya, apakah plot yang baik, kemas dan tersusun?

Kang Dan-i dalam Romance is a Bonus Book

Romance is a Bonus Book menjadikan saya, selain dari terpesona dengan kerja-kerja perbukuan syarikat Gyeoroo, menyoal semula kemampuan saya merangka jalan cerita.

Tidak apa. Soal saya merangka jalan cerita, kita ketepikan dulu.

Tetapi kenapa Romance is a Bonus Book agak signifikan? Bagi saya, bagi semua pembaca, dan khususnya bagi pemain-pemain industrik perbukuan yang sedang tenat dan nazak?

Jujur saya katakan, saya bercita-cita untuk menjadi founding kepada syarikat buku seperti Gyeoroo. Utuh, terus bekerja untuk memastikan masyarakat membaca (walaupun ini semua mimpi kerana zaman ini ialah zaman syarikat-syarikat penerbitan sedang uzur).

Sambil mencerap realiti membaca masyarakat kita, saya terfikir, mungkin sudah tiba masanya, kita tidak perlu menjadikan sastera berat sebagai fundamental kepada industri penerbitan.

Kita perlukan cerita.

Cerita yang hebat, yang kemas, yang menggerunkan, yang menyeramkan, yang mendebarkan. Kita perlu lebih ramai Ramlee Awang Murshid.

Kita perlu keluar daripada kepompong sastera, jengah ke masyarakat dengan menggunakan bakat mereka cerita yang kita ada, dan tawarkan cerita sebagai hiburan, bukan lagi bahan paksaan membaca yang berat.

Cerita masih alat hiburan yang berkesan. Platform mungkin berubah. Tetapi cerita tentang substance yang relevan.

Jika semua penulis sastera tidak hanya hanyut dengan circle mereka sahaja, tawarkan karya-karya sedia ada kepada masyarakat kebanyakan, mungkin corak baru bakal terbentuk.

Kita tidak lagi tersangkut dengan kitaran yang sama; bergantung kepada suntikan dana dan mempromosikan kebencian kepada menteri yang tidak peruntukkan dana, sedangkan masalah asas yang kita tidak mahu mengaku masih tidak selesai, iaitu buku kita tidak laku. Karya kita hanya kita dan kawan kita dan kawan kepada kawan kita yang baca.

Menulis perkara yang sama, terbit dengan syarikat yang sama, jual kepada orang yang sama, disunting oleh editor yang sama, buat bedah buku pula, dengan kawan-kawan yang sama.

Walaupun kita menulis hal-hal yang berat seperti menghurai pemikiran Fariduddin al-Attar, kita sebenarnya selesa, dan tidak mahu melawan keselesaan itu dengan mengaku bahawa diri kita stagnant dan monoton.

Perlu kita tahu satu fakta; syarikat buku ialah bisnes yang memerlukan aliran tunai yang kuat. Buku pula ialah produk. Kalau buku tidak dijual, syarikat buku mati.

Sebagai penulis, kita ialah penghasil produk. Kita perlu faham soal kitaran bisnes agar kita tidak terlalu berkhayal dan seronok sendiri dengan karya kita.

Di dalam Romance is a Bonus Book, seorang editor dan Team Manager syarikat Gyeoroo, Bong ji-Hong terlalu taksub dengan puisi hingga memaksa syarikat menerbitkan koleksi puisi penyair kegemarannya.

Walaupun syarikat sangat menghormati penyair tersebut, syarikat memutuskan untuk tidak menerbitkan koleksi puisi tersebut kerana pasaran puisi tidak mampu mendatangkan aliran tunai yang kuat untuk syarikat bertahan.

Lihat drama Korea, buat cerita buku boleh popular. Kenapa?

Apabila ita faham isu asas ini, kita akan faham kenapa sastera kita hanya pada khalayak tertentu, tidak keluar menemui khalayak yang baru.

Drama bersiri ini mengajar saya untuk runtuhkan keegoan diri. Belajar untuk fahami khalayak, keluar dari kepompong yang sama tanpa meninggalkan values yang kita bina sebagai seorang penulis.

Satu hari nanti, dengan izin Allah, industri buku kembali bertapak dengan kukuh dan masyarakat kita lebih membaca.

Sebagai penulis, ayuh, terus menulis dan carilah ketidakselesaan. Kita perlu lakukan sesuatu berulang kali sehinggalah ia mengena dengan keperluan dan selera masyarakat.

Sebagai pembaca, jangan kedekut. Belilah buku. Hadiahkan buku kepada orang. Kitalah yang menjadi pendesak kepada budaya membaca sebagai budaya yang new normal.

One response to “Menonton Romance is a Bonus Book”

  1. Setuju sangat!

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: