
Hari ini ialah hari kesembilan Juwita lahir ke dunia.
Saya masih ingat lagi, tepat jam 3 pagi 27 Mei 2020, isteri terjaga dari tidur dan merungut sakitnya semakin kerap. Saya terus bersiap untuk membawa isteri ke hospital. Surat masuk wad untuk bersalin sudah Dr Wan Norizah berikan dua minggu lalu.
Perancangan Dr Wan, isteri perlu di-induced pada 28 Mei jam 8 pagi kerana bayi perlu keluar sedikit awal iaitu pada 38 minggu. Tetapi takdir Allah, sehari sebelum induce, isteri sudah sakit dan Juwita barangkali sudah tidak sabar-sabar untuk keluar.
Segalanya berlaku dengan sangat cepat. Jururawat memeriksa, bukaan sudah mencecah 8cm. Sepatutnya isteri perlu ke hospital mungkin tengahari atau petang sehari sebelumnya ketika bukaan 4cm. Tetapi isteri tidak perasan sakitnya berbeza hanya setelah awal pagi keesokannya.
Jam 4 pagi begitu, Dr Wan sampai di hospital. Isteri diberikan bilik khas bersalin seperti kebanyakan hospital swasta yang lain. Ya, saya sangat bersyukur kerana dikurniakan rezeki untuk menghantar isteri bersalin di hospital swasta dan ini semua hasil daripada berjimat cermat dan mengurus kewangan dengan baik.
Kata Dr Wan, dalam dua jam lagi kita akan mulakan proses bersalin. Bererti, jam 6 pagi barulah bukaan sudah luas dan proses bersalin boleh dimulakan. Tetapi Dr Wan juga sebut, keadaan tidak menentu, boleh jadi bukaannya cepat terbuka. Memang benar telahan Dr Wan, jam 5 pagi proses bersalin sudah perlu dimulakan.
Sebagai suami, saya diberikan keizinan duduk bersama isteri. Pengalaman yang tersangat tak dapat saya lupakan apabila melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana struggle-nya seorang ibu untuk melahirkan seorang bayi.
Seketika Dr Wan memanggil saya, menunjukkan di mana kepala bayi. Sejam meneran, kepala bayi masih bergerak sedikit perlahan. Jururawat sudah bercakap-cakap berkemungkinan perlukan vakum untuk menarik kepala bayi keluar. Tetapi Dr Wan memutuskan untuk berikan masa, mungkin 1 hingga 2 pusingan lagi kerana degupan jantung bayi masih normal menunjukkan tanda-tanda untuk bayi lemas tidak ada.
Saya sangat kagum dengan ketenangan dan kepakaran Dr Wan. Untuk pengetahuan semua, saya mengenali Dr Wan Norizah melalui Dr Azfar. Dr Azfar merupakan sahabat sekali gus doktor peribadi bagi YB Dr Maszlee semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan.
Dr Azfar sangat menyarankan saya dan isteri untuk bertemu Dr Wan dan meneruskan check-up dengan beliau. Saranan itu memang tepat dan sangat tidak sia-sia.
Berbalik kepada cerita dari dalam bilik bersalin tadi, Dr Wan mengajar isteri untuk meneran dengan cara yang betul. Saya duduk di sebelah Dr Wan. Selepas sekali teran sahaja, saya melihat dengan mata kepala saya sendiri Juwita menggelongsor keluar dengan sangat laju dan Dr Wan terus menyambut kepalanya dan terus meletakkan Juwita di atas badan isteri.
Juwita menangis teresak-esak kemudian diam setelah isteri memeluknya. Dr Wan berikan saya gunting dan minta saya memotong tali pusat Juwita.
Tidak lama kemudian jururawat mengambil Juwita dan membersihkannya. Juwita kemudiannya diberikan kepada saya semula untuk diazankan dan ditahnikkan.
Hari ini ialah hari kesembilan Juwita.
Banyak yang ingin saya kongsikan; tentu sekali sebagai seorang ‘abah’, saya sendiri sangat perlu membuatkan banyak perubahan rutin, perubahan rasa dan cara fikir.
Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kerana akhirnya Juwita selamat dilahirkan secara normal dan isteri juga selamat.
Apa yang boleh saya simpulkan, menjadi seorang abah ialah menjadi seorang yang sentiasa resah dan gusar. Sejak dari dalam kandungan sehinggalah hari ini, sayalah yang gusar malam-malam memikirkan bagaimana Juwita tidur, tidurkah dia, sejukkah, kembung perutkah dan 1001 macam lagi kerisauan yang membuak-buak dalam kepala.
Dan kepada Juwita, saatnya Ju akan membaca catatan abah ini, dan saatnya Ju tahu abahlah orang yang sering curi-curi menjenguk Juwita malam-malam untuk memastikan Ju tidur dengan tenang.
Dunia akan terus bergulir dan Ju akan abah pastikan membesar dengan cara yang paling indah.
Leave a Reply