Soneta Buat Juwita: Dimamah Dewasa

Saya tidak dapat mengamati Yuval Noah Harari secara laju. Satu, bukunya tebal. Dua, jiwa saya terasa sendat memikirkan ketidakseimbangan dunia yang dipersembahkan.

Kadang saya mahu lari dari segalanya. Duduk diam-diam di rumah, baca buku, menonton Juwita dalam-dalam dan bercerita kepadanya tentang pari-pari yang mati menikam diri sendiri.

Saya membuka fail baru di komputer riba, menyimpannya di bahagian Dropbox dan menamakannya: “Soneta Buat Juwita”.

Semalam, saya terjaga jam 2 pagi dan mendengar rengusan Juwita. Lama saya merenung syiling dan daun-daun kipas yang berpusing. Paling saya cemburu kepada Juwita; serunsing manapun keadaan, dia sering ditawarkan pangkuan yang begitu menghangatkan.

Lebih dari itu, Juwita mudah dicintai. Dia tidak pernah merungut, jauh sekali meminta. Paling tidak dia menangis meminta cinta yang lebih dan saya sering memujuk Juwita dengan pesanan Sapardi: “Tidak cukupkah dengan cinta yang sederhana, Ju?” dan Juwita akan terus menangis lagi dan lagi.

Mendewasa merubah saya banyak. Saya mahu lebih segera merelakan. Jika ada harinya jiwa menjadi sesak dengan segala urusan, saya mahu memejam mata dan mendoakan saya terus melompat ke hari esok. Saya tidak tahu apakah saya semakin lemah atau sebenarnya saya tidak pernah bersedia menghadapi hari-hari yang sebegini.

Terlintas juga kata-kata HAMKA: “Jiwa harus dikendali.” HAMKA menyebutkan ini ketika menghurai Surah Al-Hijr ayat 95-99. Saya tersentak membaca perenggan ini beberapa hari lepas dan saya mengutuk diri saya sendiri kerana membiarkan diri terperangkap dalam Tafsir Al-Azhar entah ke berapa kali.

Saya tidak boleh berpindah ke wacana yang lain apabila yang dibentangkan terkait dengan kekecewaan seorang Rasulullah SAW. Malah saya terduduk melihat bagaimana Allah mengiktiraf perasaan sedih dan down seorang Rasul yang juga seorang manusia seperti kita.

Tetapi dalam perenggan yang sama jugalah Allah beritahu, tiada apa yang boleh dilakukan melainkan kembali kepada Tuhan untuk membangunkan semula keyakinan dan pada saat itulah saya terus menutup buku dan melihat ke luar jendela. Benar, saya terlalu meminta!

Pagi ini saya memandu ke pejabat melalui celah-celah macetnya jalan sambil membiarkan radio berkemudang dan yang ada dalam kepala saya ialah bongkah-bongkah kecil yang terbang tak menentu dan wajah-wajah diri sendiri yang rambang berlaga antara bongkah-bongkah tadi. Saya sudah tidak mampu menafsirkan apa-apa lagi.

Apakah saya benar-benar merindui kesepian atau ada kenangan yang tak dapat saya lupakan? Apakah saya menyesal kerana terlalu cepat dewasa ketika yang membuatkan saya tersenyum bukan lagi realiti, tetapi saat saya terkenangkan kisah tentang saya memakai baju polos duduk bersahaja di tepi sungai dan orang-orang yang melintas menyapa lalu duduk bertanyakan perihal cinta?

Saat itu, saya menjadi yang paling tidak bercita-cita. Saya fikir kenapa kita takut kepada hari esok apabila hari ini kita dikelilingi oleh insan-insan yang menerima kita seikhlasnya, sejujurnya? Waktu itu saya mendoakan agar saya tidak dewasa kerana kedewasaan membunuh segala-galanya tetapi sedang saya menulis ini saya sedang dimamah dewasa. Betapa sedihnya kehidupan.

Sebab untuk saya terus bercita-cita ketika ini ketika keadaan lebih menekan saya untuk melunaskan tanggungjawab dan memastikan pendapatan tidak terjejas untuk keluarga dan saya tidak sempat menyiapkan buku saya apalagi sempat membaca buku-buku yang banyak dan menikmati senja dengan secangkir teh dan sekumpulan puisi hanyalah kerana setiap kali saya pulang dari pejabat dan kesibukan kota, wajah Juwita dengan mata coklatnya menanti saya dan saat saya merangkulnya perlahan, dia merenung saya dalam tanpa perlu berkata-kata apa-apa.

Saat itu saya beriltizam untuk terus bangun esok hari, terus bekerja, terus bercita-cita dan terus menjadi lelaki yang mengemis waktunya sendiri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: