Jumaat 24 Julai 2020.
Hari yang baik. Cuaca pun cerah. Dua tiga minggu ini saya banyak berulang alik dari Wangsa Maju, Bangi, Putrajaya dan Cyberjaya. Di setiap perjalanan saya; hujan tidak mahu reda. Hujan itupun fana, seperti Sapardi dan seperti kita semua.
Saya sering menyoal diri sendiri. Memandu menjadikan saya ramah dengan diri sendiri. Banyak dialog tercipta secara tiba-tiba. Saya pernah bertanya kepada diri sendiri; bagaimana sekiranya saya satu-satunya orang bisu di seluruh pekan ini? Jawapan yang saya simpulkan ketika memarkir kereta di tempat kerja ialah, saya akan menjadi yang paling banyak menghasilkan puisi dan cerita.
Seperti Sapardi.
Saya pasti menjadi yang tidak pusing dengan keadaan sekeliling. Dahulu saya marah dengan orang yang tidak peka dan prihatin dengan suasana, dengan keadaan sosial dan sebagainya. Hari ini saya akan memarahi diri sendiri kerana terlalu memarahi orang lain suatu masa dahulu.
Saya fana. Seperti orang lain. Seperti Sapardi.
Keadaan kerja tidak menentu. Pasca Perintah Kawalan Pergerakan menjadikan dunia bergegar. Saya membaca berita, jumlah penganggur meningkat menjadi 778,800. Adakah saya juga bakal termasuk dalam jumlah ini? Saya tidak pasti.
Yang pasti, saya tidak mahu kekal dalam suasana yang perit emosi, barah jiwa dan kusut kepala. Saya mahu keluar dan seperti kata Sapardi, saya mahu hujan.
Saya juga tidak larat bersusah-payah membuang segala berita, segala sangka dan segala cakap-cakap tentang saya yang tiba-tiba menerpa. Saya tidak mahu peduli dan saya menyoal Tuhan kenapa menghantar berita ini tiba-tiba?
Biar sampai jadi muka depan majalah Mastika sekalipun, saya tidak mahu tahu apalagi peduli.
Jika tidak, saya akan membuang masa bergelut untuk mengabaikannya. Hari saya jadi mendung, urusan saya jadi kabut dan kepala saya jadi kusut. Waktu itu saya mahu berlari di tengah jalan dan berdoa agar dilanggar trak dan kepala saya terhantuk lalu saya hilang ingatan.
Bayangkan betapa ramai orang bunuh diri kerana diserang dengan berita, sangka dan cakap-cakap orang tentang diri mereka? Bayangkan betapa bahagianya kita kalau kita menjadi bisu dan tuli?
Ya, saya juga seperti orang lain. Akui diri teguh, tidak peduli. Esok akan tiba dan hari ini kita bungkus masuk dalam tong sampah.
Tetapi semua itu mitos. Ketika kita melonglong melaung kita tidak peduli itulah bukti kita sedang bergelut berhadapan dengannya.
Tiada siapa faham dan peduli tentang diri kita sepenuhnya. Cakap-cakap mereka bukan untuk memenangkan orang lain melainkan perasaan mereka sendiri. Kerana hakikatnya; semua orang terlalu sibuk menyelamatkan diri mereka sendiri.
Semua orang bermusuh dengan diri mereka sendiri, dengan dengki dan cemburu yang wujud dan menyerang mereka dari segenap penjuru. Mereka perlu berfikir tentang orang lain kerana berfikir tentang diri mereka sendiri ibarat menonton cerita seram yang tidak berpenghujung dan terlalu menakutkan.
Mereka perlu menyangka buruk kepada orang lain kerana mereka takut kehilangan, mereka takut diserang lalu mereka menyerang, mereka kecut untuk mengakui kesilapan sendiri lalu mereka mendedahkan kesilapan orang lain.
Allah pernah menenangkan Baginda Nabi SAW ketika Nabi juga merasa apa yang kita rasa. Ketika cakap-cakap pembesar Quraisy yang berlegar santak ke pelusuk Mekah menfitnah, menghina dan paling penting menyebarkan propaganda Nabi SAW sebagai penyair, si gila meroyan dan ahli sihir besar yang perlu dibenci dan dimusuhi.
Lihat bagaimana Allah tidak sekalipun dismiss atau mengabaikan perasaan Nabi, sekaligus mengiktiraf kewujudan perasaan itu dan tidak sekalipun menyuruh Nabi membuangnya apalagi mengabaikannya. Di dalam Surah al-Hijr, Allah berfirman:
Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan.
Perkataan yadhīqu sadruka bermasuk sempit dadamu. Perkataan ini sekaligus menggambarkan secara keseluruhan kekecewaan, kesedihan, down, dan runtuhnya motivasi seorang Nabi yang hakikatnya seorang manusia seperti kita apabila dapat tahu di sana rupa-rupanya segerombolan manusia telah percaya cakap-cakap orang tentang diri Baginda.
Lihat pada perkataan bima yaqulun, yang bermaksud dengan apa yang mereka perkatakan.
Allah tidak menyebut bima yaftinun (dengan apa yang mereka fitnahkan) atau bima yakzibun (dengan apa yang mereka tipukan). Sebaliknya cuma bima yaqulun.
Ertinya, cakap-cakap orang tentang kita itu tidak semestinya fitnah, tipu atau cerca apalagi hina. Cakap-cakap orang itu boleh jadi cerita tentang kita yang sebahagiannya benar, tetapi ditokok tambah, direncahi dengan pelbagai sangkaan hingga mengarah kepada kesimpulan yang buruk.
Yaqulun juga datang dalam bentuk kata kerja yang berterusan. Ertinya orang-orang itu, macam pemimpin-pemimpin kafir Quraisy dulu juga, akan terus bercakap-cakap tentang kita di waktu rehat mereka, di meja pejabat mereka, di kafe-kafe tempat mereka menghabiskan masa lapang, hari ini, esok, lusa dan akan berterusan.
Kita tiada daya menghentikannya. Dan Allah pun tidak memberikan kita cara untuk menghentikan mereka, sebaliknya membentangkan kepada kita cara untuk menguatkan diri kita sendiri.
Selepas ayat 97 di atas, Allah terus berfirman:
Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.
Lalu selepas itu, Allah terus menyambung:
Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu keyakinan.
Setelah Tuhan beritahu, Dia tahu apa yang Nabi rasa, apa yang kita rasa, Dia minta supaya kita memujiNya dan bersujud kepadaNya.
Tentu ia suatu yang payah, tetapi penting. Kita memuji Tuhan kerana mengiktiraf kuasa Tuhan mengetahui segala yang terjadi, mengetahui segala yang terpendam dalam lubuk hati kita. Dan kita MemujiNya kerana tahu, kita ini insan dengan segala kekurangan dan kelemahan, kita takkan mampu menghentikan cakap-cakap orang tentang kita, tetapi Dia mampu.
Kita sujud tanda kita reda dan berserah.
Lalu kita terus beribadat kepadaNya kerana kita tahu, hanya Dia yang mampu menguatkan hati kita semula sehingga ya’tiyakal yaqin (sehingga datang kepadamu keyakinan).
Manusia berkerumun mengusir kita keluar, Dia setia memanggil kita masuk ke dalam kasih-sayangNya, rahmatNya. Tidak kira apapun yang kita hadapi, Dia ada, Dia tahu, dan Dia sentiasa punya jalan keluar untuk menyelamatkan kita, dan menguatkan hati kita.
Sehinggalah datang kepadamu keyakinan semula.
Leave a Reply