Kita Dipilih, Kita Diiktiraf, Kita Diagungkan, Sebab Itu Kita Didengki.

Jam 7.09 pagi, 9 Ogos 2020.

Saya melihat ke luar jendela, kabus pagi masih tebal berambal-ambal memayungi pepohon dan rumah-rumah yang bertaburan. Dingin pagi menyucuk hingga ke sum-sum. Terasa nyaman.

Usai Subuh, saya menyelak al-Quran, meneruskan rutin bacaan harian. Saya tiba di Surah Al-A’raf lagi. Saya dipersembahkan dengan permintaan iblis untuk menjadi makhluk-makhluk yang ditangguhkan.


Iblis berkata: “Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)”.

Iblis berdoa kepada Tuhannya yang juga Tuhan kita, agar ditangguhkan hayatnya sehingga hari kebangkitan. Tuhan memakbulkan doa iblis, dan kita seakan-akan menjadi mangsa keadaan (ini yang menjadi persoalan saya sejak dulu, betapa dalam banyak situasi ayat al-Quran, sepintas lalu kita menjadi mangsa keadaan).

Kerana iblis berdoa untuk tidak mati, meski Tuhan tahu tujuan iblis ialah untuk memanfaatkan masanya dengan menjahanmkan kemanusiaan, dan Tuhan dengan sifatnya Yang Memakbulkan pula menjadikan doa iblis sebagai takdir, lalu kitalah pula yang menjadi mangsa keadaan.

Justeru, kita harus bertanya kepada Tuhan, kenapa kita menjadi mangsa keadaan? Soalan ini pula membawa kita kepada soalan-soalan terkait yang lain; kenapa kita diciptakan sedangkan kalau kita tidak dicipta, kita tidak perlu berhadapan dengan godaan iblis.

Ya, soalan-soalan ini akan terus tumbuh, mencuit dalam fikiran kita, saban waktu.

Jawapan-jawapannya pula bercempera. Ada jawapan yang kita jumpa 12 tahun lepas, yang harus digabungkan pula dengan jawapan yang kita temui semalam dan semuanya belum tentu cukup meyakinkan kita.

Kita harus berjalan lagi dan lagi. Benar kata Pascal kepada kita; perjalanan hidup kita ialah pencarian jawapan kepada soalan-soalan yang muncul dalam kepala kita dan kata Pascal lagi, kita akan merasa gerun dengan soalannya sehingga kecut untuk berhadapan dengan jawapan yang bakal kita temui, lalu kita pun melarikan diri daripadanya.

Inilah nasihat Pascal kepada kita, melarikan diri menjadikan kita manusia yang kosong walaupun kelihatan kita begitu sibuk melakukan itu dan ini, tetapi dalaman kita (ruang spiritual) sangat kosong.

Lama-lama ia berkarat, berkulat, dan busuk.

Kita sudah tiada soalan lagi.

Iblis telah berjaya memujuk kita untuk tidak bertanya soalan lagi.

Dan pada waktu kita tidak bertanya tentang sebab kita wujud dan diciptakanlah, kita barangkali tiada sebab pun untuk wujud dan diciptakan.

Iblis telah menang walaupun kitalah yang diakui Tuhan sebagai makhluk yang diagungkan penciptaannya. Kitalah yang Tuhan sebut dalam ayat 10 Surah al-A’raf; makkannākum fil ardhi, yang bermaksud “kami lantik – berikan kuasa – tempatkan kamu di muka bumi.”


Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

Makkanna ialah istilah sangat besar, rumit dan mencabar. Makkana bukan bererti makan (tempat), bukan pula hanya sekadar menempatkan sahaja. Makkanna ialah istilah yang membawa beban yang berat.

Di situ ada pengiktirafan.

Di situ ada kemegahan.

Dan di situ juga ada cabaran.

Tuhan tidak pernah menyebut makkannākum kepada iblis mahupun malaikat. Tuhan hanya sebut kepada kita.

Apabila hanya kita yang dapat, maka di situ juga tentu ada yang mendengki.

Dalam ayat 11, Tuhan meminta semua sujud kepada kita sebagai tanda patuh kepada keputusan Tuhan, tetapi iblis enggan.

Iblis menggunakan hujah asal-usul kejadian – seperti manusia ketika menggunakan hujah “kamu siapa dan aku pula siapa?”.

Apa yang kita mampu berlajar daripada iblis sekurang-kurangnya ialah; kita dimegahkan bukan kerana kita berasal dari apa, tetapi kerana Tuhan yang memutuskan.

Jika masih ada di sana mereka yang sering mempersoalkan kita siapa, keluarga kita siapa, bangsa kita apa, keturunan kita apa; maka mereka sama seperti iblis.

Mereka dengki, macam iblis.

Kedengkian ini telah menyebabkan iblis diusir dari syurga (ayat 12), tetapi kedengkian iblis juga menjadi benih dendam kesumat yang tak mudah dilepaskan.

Justeru iblis meminta agar ditangguhkan waktu. Kata iblis, “aku telah dihalau dari syurga, jadi aku akan menghalang manusia daripada masuk ke syurga.” (ayat 16)

Ya, iblis dengki. Iblis sudah rasa manisnya syurga, dia tidak mahu kita sedikitpun merasa apa yang dia rasa.

Dan kedengkian iblis serta kedengkian yang bersifatkan iblis ini masih ada sampai hari ini, sampai esok, sampai hari kebangkitan.

Justeru mulai pagi ini, pagi esok, pagi lusa dan pagi-pagi seterusnya, kita harus ingat bahawa kita akan memulakan hari-hari kita dalam keadaan kita akan didengki dalam apa jua cara.

Dan saat kita didengki dan kita tidak tahu harus melakukan apa, ingatlah kembali kenapa kita didengki, tidak lain tidak bukan kerana walaqad makkannākum fil ardhi (ayat 10).

Kita dipilih, kita diiktiraf, kita diagungkan, sebab itu kita didengki.

Dan amatlah sedikit mereka yang bersyukur (penghujung ayat 10 surah al-A’raf).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: