“The Art of” Tidak Peduli

Jam 11.30 malam.

Selepas Juwita tidur, baru saya sempat membuka komputer riba dan mula menulis.

Hal ini sudah lama membusung dalam kepala saya. Sejak beberapa minggu sudah, topik ini berpusar dalam fikiran. Macam kata Shahnon dalam buku Weelstanchauung, topik atau idea ialah makhluk yang akan menghantui seorang penulis selagi penulis tidak menulisnya.

Jadi malam ini, apa jadi sekalipun saya tetap kena tulis juga.

Saya terfikir perkara ini sudah lama. Artikel sebelum ini pun saya sudah menyentuh sedikit-sebanyak tentangnya.

Tetapi saya harus memulakan tulisan ini dengan menceritakan situasi yang saya lalui.

Mungkin situasi setiap dari kita tidak sama, tetapi intipatinya dan rasanya tetap sama.

Termasuk Jejak Tarbiah, saya sudah bekerja di tiga sektor berbeza.

Satu, sektor Kementerian. Dua, sektor GLC. Dan tiga, sektor swasta (Jejak Tarbiah).

Perpindahan dari Kementerian ke sektor GLC tidak dijangka. Selepas Kerajaan bertukar, saya dan rakan-rakan yang berteduh di bawah political will, terpaksa juga mengangkat kaki dan berundur.

Saya akur. Rakan-rakan pun sama, akur.

Namun hari yang sama pengumuman tukar Kerajaan, sebuah GLC yang tidak perlu saya sebutkan nama hubungi saya, minta saya bekerja dengan mereka.

Mungkin kerana semasa saya di Kementerian, saya banyak menolong mereka. Saya masih ingat lagi bagaimana saya suarakan hasrat mereka kepada Menteri dan akhirnya Menteri setuju dan kertas kerja kabinet terus dibuat.

Sekarang mereka bernafas lega kerana keputusan tegas Menteri.

Saya faham atas dasar itu, mereka mahu menolong saya. Mereka menawarkan saya bekerja di sana. Saya masih ingat pertemuan saya dengan bos mereka. Bos GLC tersebut terus-terang sebut pada saya, “Saya nak you jadi PR (Public Relation). You fokus cari projek di luar. You clock in pagi lepas tu you kena keluar cari projek.”

Saya faham tugas PR. Memang kena cari projek, kena sentiasa berhubung dengan prospek. Jadi saya pun menunaikan tugas saya sekadarnya.

Saya masuk pejabat, ambil fail, dan keluar cari prospek.

Sehinggalah saya mula dengar cakap-cakap belakang tentang saya.

Ditambah pula dengan screenshot yang saya terima, ditulis di media sosial oleh rakan baik salah seorang pekerja di GLC tersebut. Katanya, “Ada pekerja baru, bayar gaji mahal-mahal masuk ofis suka hati.”

Saya tahu yang dimaksudkan ialah saya kerana saya paling baru waktu itu.

Yang lagi menyedihkan, orang yang menulis itu saya kenal dan beliau sentiasa ada nombor telefon saya. Beliau boleh menghubungi saya dan bertanya terus kepada saya. Sayang seribu kali sayang, media sosial telah merosakkan hubungan akrab yang lama terbina.

Cakap-cakap itu tidak habis di situ. Bersambung-sambung dari kalangan rakan-rakan mereka yang lain pula. Selepas satu lingkaran, berjangkit ke lingkaran yang lain.

Ingin sahaja saya membalas di ruangan komen, “Saya mendapat arahan spesifik dari bos untuk keluar mencari projek dan prospek. Saya berjaya membawa masuk beberapa projek yang menguntungkan syarikat hasil dari networking saya semasa di Kementerian dahulu. Itulah KPI kerja saya.”

Tetapi saya tidak melakukannya. Sebaliknya apa yang saya lakukan, saya terus meminta ditamatkan kontrak dan terus berhenti bekerja di GLC tersebut.

Saya kembali bekerja membangunkan perniagaan buku kami yang kecil dan sederhana. Saya kembali ke tempat di mana saya bermula. Dan ya, saya lebih bahagia dan selesa.

Dahulu, jika tepat jam 5 saya pegang beg untuk pulang, saya tahu ada pandangan sinis menemani. Sedangkan waktu kerja saya habis jam 5.

Di tempat kerja baru, tepat jam 5 saya masih di kerusi, semua orang tanya bila saya nak balik.

Ya, begitulah bezanya. Sangat ketara.

Ada kawan bertanya, “Bagaimana buat keputusan yang besar semudah petik jari sahaja?”

Tidak mudah sebenarnya. Banyak dugaannya. Tetapi jika yang kita cari ialah ketenangan, insyaAllah segala yang payah akan mudah.

Soalan itu juga mengingatkan saya tentang apa yang bermain dalam fikiran saya beberapa hari ini.

Seni untuk tidak peduli secara berlebihan.

Di zaman semua orang nak bercakap dan diberikan ruang untuk bercakap, kita perlu bersiap siaga untuk menjadi kebal, menjadi tidak terlalu peduli.

Kerana zaman ini ialah zaman semua orang ‘ambil kisah’ tentang orang lain walaupun hakikatnya, itu bukan tugas mereka.

Apabila terlalu peduli tentang orang lain, kita tiada masa untuk peduli tentang diri kita sendiri sedangkan itulah perkara yang harus kita lakukan.

Sebagai manusia, sebagai hamba.

Allah berfirman di dalam Surah al-Zariyat ayat 21:

“Dan juga pada diri kamu sendiri. Mengapakah kamu tidak mahu melihat serta memikirkan?”

Perkataan diri di sini diterjemah daripada perkataan anfus, iaitu jamak kepada nafs yang bermaksud soul atau jiwa.

Sekaligus ia datang dengan dua maksud; satu, tubuh kita secara fizikal dan dua, hati kita, dalaman kita, soul kita.

Di balik pertanyaan Allah, ada saranan, ada suruhan untuk kita memerhati diri kita, memerhati soul kita, bukan orang lain.

Kurangkanlah peduli pada orang lain, banyakkan peduli pada diri sendiri.

Apa yang orang cakap tentang diri kita, tidak penting. Yang penting ialah apa yang kita cakap tentang diri kita.

Kita tidak perlu jatuh ke lembah terlalu peduli dengan pandangan orang lain terhadap diri kita kerana ia tidak pernah membahagian kita dari segi luaran dan dalaman. Mereka tidak pernah berpuas hati dengan diri kita seperti mana mereka tidak pernah berpuas hati dengan orang lain.

Fokus apa yang kita ingin buat dan capai dalam hidup. Letakkan diri kita di posisi peranan yang betul dan terus konsisten melaksanakannya dengan baik.

Jika ada distraction, ada gangguan seperti screenshot yang saya terima, belajarlah unfollow, atau block jika perlu.

Ya, belajarlah untuk tidak terlalu peduli.

One response to ““The Art of” Tidak Peduli”

  1. “situasi setiap dari kita tidak sama, tetapi intipatinya dan rasanya tetap sama”.
    Penulisan tuan sangat saya nantikan setiap kali membuka web ini. Ma sha Allah la quwwata illa billah. Setiap kali membaca ,setiap kali terasa di jiwa. Terima kasih. Teruskan menconteng. Saya akan teruskan membaca inshaAllah 🙂

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: