
8 September 2019 (tahun lepas) saya mendapat pesanan daripadanya. Saya rakamkan di sini sedikit sebanyak perbualan yang wujud dengan tiba-tiba setelah hampir tiga tahun tidak bersua.
“Salam Abang Faiz. Hehe.”
“Waalaikumussalam. Hoi.”
“Woi. Hahaha, Busy nooo.”
“Ada apa Yam? Weekend. Rehat. Haha.”
“Abang Faiz. Pilihan. Macam mana…”
“Hmmm.”
Perbualan 8 September ini berlanjutan dan berberaian sehinggalah awal Julai tahun ini, 2020, saya menghubungi beliau lewat kesesakan jalan raya, sekadar ingin bertanya khabar selain rindu dan terkenang cerita-cerita lama.
Sepanjang perjalanan pulang dari tempat kerja itu, Maryam bercerita panjang dengan saya. Soal jodoh, soal pilihan, soal ketetapan, sehinggalah kepada hal-hal yang titik-bengit, yang mengingatkan saya perihal seorang Maryam yang saya kenal, tak tumpah dan tak ubah sejak tujuh tahun yang lalu.
Ya, tujuh tahun, begitulah panjangnya perkenalan saya. Dari bibit-bibit awal, mula tercipta keakraban, merangkak perlahan-lahan mendaki usia, dari seorang siswi tahun 1, menakah dan kemudiannya bergraduasi – seorang Maryam tidak pernah lekang dari ingatan, tidak pernah bercerai dari memori.
Maryam Hamidah Zulkifli, Natirah Azira Ghazali, Raihan Kasim, Nuraidah Abd Hamid, Marinah Mutalib, Amirah Ibtisam, Syamil Mazlan, Fahmi Kashfi – saya rakamkan nama-nama ini, andai kalian ada bertemu mereka di sela-sela karya saya, kalian harus tahu, nama mereka benar, mereka wujud sebagai watak yang begitu bermakna dalam hidup saya.
Awal Julai itu jugalah Maryam memberitahu, masanya sudah tiba. Kedewasaan cepat mengejarnya. Ada jejaka sedang sabar menunggu di jinjang takdir dan dia tidak mahu mengambil masa terlalu lama.
10 Disember 2020, dua hari lepas, Maryam telah melangsungkan pernikahan dengan Mohd Azlansah Zulkifli di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak.
Melihat pengumuman ringkas di grup Whatsapp kami – Sementara Yang Abadi – menumbuh sejenis rasa lega dan indah di hati saya yang paling dalam, hingga saat hujan turun malu-malu di Cyberjaya, saya mahu mencoret semula kenangan yang telah memekar sekian lama dalam kamus hidup saya.
Tidak ada cerita sensasi. Seorang Maryam cuma seorang gadis hingusan yang saya jumpa, gemar mengenakan shawl labuh berwarna merah magenta, sesekali bertukar dengan shawl nipis hitam; seingat saya amat jarang Maryam mengenakan tudung segi tiga bidan biasa, mahupun bawal atau tudung instant, seolah-olah dia cukup tahu, bentuk wajahnya yang sfera bujur itu amat kena dengan selendang labuh, dan cukup sekadar itu.
Maryam juga seperti mereka yang lain; menjengah hidup saya dengan tiba-tiba. Hasrat asalnya, mahu menjadi seorang penulis seperti saya, bertukar menjadi perhubungan persahabatan yang cukup kukuh. Bagaikan sebuah lautan dengan ombaknya yang menggila, saya beritahu mereka jangan gusar, kita harus segera menyelam ke dalam. Hidup menjadikan kita amat takut dengan gulung-gulung ombak yang mengganas, tetapi saat kita menyelam ke dalamnya, segala keindahan yang tak terbayangkan akan terpancar.
Hampir tidak pernah mereka mengatakan tidak saat saya mahu menganjurkan apa-apa. Bilanglah apapun; ketika saya gian membedah Al-Hadi, mereka mampir menadah telinga, mendengar saya mengarut dan berleter perihal Hamka, Al-Hadi, Marjam Jameelah, sehinggalah hal-hal hidup yang menyesakkan, sehingga tumbuh antara kami sejenis kejujuran, kepercayaan, yang tergabung-gabung menjadi keakraban yang begitu kukuh,
Sehingga hari ini.
Saya yang paling awal melangsungkan perkahwinan, selepas sahaja bergraduasi, kemudian terus terbang ke Edinburgh. Saat penerbangan Emirates membelah lautan bumantara, saya berpesan pada diri, selesai sudah suatu fasa, dan terpaksa saya telan hakikat kepahitan bahawa masa saya dengan mereka; saat kami bising di Dar Al-Hikmah lalu ditegur Librarian, juga saat kami meluangkan masa di pinggir sungai UIAM bercerita tentang segalanya, atau di restoran bawah gunung Batu Cave memesan Tom Yum dan koey teow kung fu, semuanya sampai ke suatu noktah yang tak dapat dielakkan lagi.
Kedewasaan benar-benar mengejar kita dari pelbagai arah. Saya bertungkus-lumus mendidik diri, menerima bahawa hidup adalah perjalanan, dan saya perlu meneruskan perjalanan.
Tetapi Maryam, tidak pernah putus-putus meminta nasihat. Kadang Maryam bertanya tentang sesuatu yang sangat aneh dan tiba-tiba. Saya masih ingat suatu fasa di mana Maryam amat ghairah dengan idea Pan-Islamisme hingga saya terpaksa mengajarnya merangka dengan rinci perihal Pan-Islamisme dan hidup seorang al-Afghani di tingkat 3, sudut Sejarah, Dar al-Hikmah.
Kadang Maryam muncul meminta pandangan tentang kesesakan hidup yang dijalani. Seorang Maryam yang saya kenal, amat tabah, amat bersungguh dan tak pernah putus asa. Hidupnya tak mudah, banyak lelah, banyak ranjau yang dia tak pinta, tetapi tidak sekalipun saya melihat Maryam kecewa dan putus asa. Soal takdir kata Maryam, ialah soal ujian kepada kita sebagai seorang hamba. Menempuhnya walau cuma dengan dua tiga kerat tulang yang ada, adalah tugas dan ibadah, yang perlu disempurnakan sampai mati.
Saya masih ingat suatu malam – menjadi sikap saya yang suka menyimpan memori melalu puisi-puisi yang saya karang sendiri – ketika saya asyik mendengar cerita dari Ummi, Ibu kepada Maryam. Saya jalinkan sebuah puisi yang cukup memotret segalanya tentang malam itu.
AKU GELISAH
Pada Ummi
Aku gelisah
setelah bertemu dengan perempuan dewasa itu
yang parut lebam mekap di pipinya
dia cuba sembunyikan
dengan bedak dan pelembap
tetapi redup alisnya
dan getar dahinya
tak bisa menipu
Ceritanya sudah tamat tadi
tapi hingga malam ini
aku masih mendengar lagi
suaranya yang girang
aku masih merasa lagi
atmanya yang bimbang
dan hingga malam-malam nanti
aku mahu merasa lagi
huruf-huruf tabah
yang telah dia susuni
ke dalam petak hatiku ini
Oh, perempuan dewasa
setebal mana gasak sukmamu?
haus lapar tajam hiris kau anyam
menjadi sebuah senyuman mesra
dan seluas mana sabarmu?
jika benar luas bidangnya
carikkan padaku seperca
meski lereng kita tak sama
tetapi aku ingin rasa bertuhan juga
Ummi yang bercerita padaku
tentang gadis-gadis duka itu
walau tak ada yang mengetahuinya
Aku gelisah
andai aku tidak setabah
perempuan yang berkali-kali rebah
dan aku gelisah
andai aku tidak sekuat
perempuan yang tak jemu-jemu kesat
dari tampar terajang hakikat
serelung dunia yang jahat.
22 Mei 2014
Uthman, IIUM
Saya berikan naskhah salinannya kepada Maryam tanpa meninggalkan apa-apa nota. Saya masih ingat Maryam membalasnya pada 26 September 2014 jam 5.41 petang, “You made me feel like crying again.”
Dalam kancah persahabatan kecil kami, bukan semuanya yang indah-indah belaka, ada juga guruh dan halilintar yang muncul tanpa dijangka. Saya pernah merasa begitu kecil hati dengan Maryam, tetapi Maryam tidak pula meminggir diri, dia tampil menadah wajah, meminta saya meluah segalanya. Saat itu saya tahu, Maryam meski cuma seorang siswi tahun dua, sudah punya jiwa yang besar dan dewasa. Maryam tahu benar fi’il saya, saya pantang orang main-main dan bersikap acuh tidak acuh dalam melakukan apa-apa. Meski hal-hal yang kecil Maryam tahu saya tidak pernah meremehkannya, dan sering cuba menumpahkan segenap usaha yang termampu saya berikan.
Saat itu saya perhatikan Maryam tidak pernah tidak menghantar tugasan yang saya berikan meskipun Maryam sangat clueless mahu menyiapkannya. Maryam pernah menyiapkan sebuah cerpen yang saya tugaskan, saya masih ingat tajuknya, Peti Ajaib. Minggu depannya, saya membedah karya itu, menyiat-nyiatnya di depan Maryam dan dia sangat tekun mendengarnya. Saya tahu saya begitu kasar dan berterus-terang, tetapi Maryam tidak pernah pun menghilang diri. Masih muncul dalam kelas-kelas seterusnya.
Sehinggalah Maryam muncul dengan karyanya berjudul Eldeweiss. Eldeweiss nyata sekali sebuah karya yang membanggakan saya. Setelah melalui segalanya, Maryam tampil dengan suatu peningkatan yang amat membanggakan, sekaligus meyakinkan saya yang Maryam sentiasa belajar dan mahu belajar. Karya Eldeweiss ialah karya yang matang, amat bermakna, dan kemas sekali segala sudut seninya.
Huh, berceretek pula kenangan-kenangan yang gugur saat saya mahu menghabiskan karangan ini. Surat-surat, puisi-puisi, bahkan segala tulisan saya kepada Maryam, tentang Maryam, juga segala karya Maryam, semuanya saya simpan kemas, dan saat rindu membuak-buak, di situlah tempat saya menghabiskan masa. Menyelak satu per satu, meneliti dan tersenyum seorang diri.
Hari ini, Maryam yang saya kenali sebagai gadis hingusan dulu, sudah menganjak dewasa. Maryam sudah saya anggap bagaikan adik kandung saya sendiri. Terkilan benar saya tidak dapat bersama di hari istimewanya gara-gara Covid-19 yang jahat dan durjana.
Hidupnya menuju ke takah yang lebih tinggi dan saya sentiasa percaya, Maryam berhak merangkul bahagianya sendiri. Doa saya kepada Maryam yang dulu, Maryam yang sekarang dan Maryam yang akan datang, teruslah menjadi seorang Maryam yang saya kenali kerana itu sudah cukup membuatkan saya yakin tentang ujian-ujian yang mendatang, pasti takkan pernah mampu merebahkan seorang Maryam.
Saya akhiri dengan serangkap puisi – Teruntuk Maryam yang Dulu, Maryam yang Sekarang dan Maryam yang Akan Datang.
Tidak lama
Tetapi cukup untuk aku mengatakan
Perkenalan kita sudah lebih dari sempurna
Dan doa yang terkumpul, sudah lebih dari cukup
Untuk terjambang menjadi hadiah paling bermakna
Engkau amat berhak merangkul bahagiamu sendiri
Dan beritahu aku, andai ada lagi kelibat yang masih cuba-cuba mencuri
Di situ, di pohon kenangan
Ada aku, ada kita, bertenggek menadah rindu
Saat guruh masih menyabung-nyabung takdirmu
Saat taufan masih memusar-musar kepercayaanmu
Dan saat gempa masih mengoyak-ngoyak ketabahanmu
Beritahu aku, beritahu kita
Walau jauh terpisah jarak dan masa
Tak ada siapa yang boleh meruntuhkan
Gunung keakraban kita
Dalam diam, Maryam
Doa untuk engkau bahagia sudah lama terbina
Hafizul Faiz
10 Disember 2020
Selamat melangsungkan perkahwinan, Maryam dan Azlansah. Selamat merangkul bahagia dan selamat melangkah ke jinjang dewasa.
Leave a Reply