Ada Sesuatu di Tahun 2023

Seperti biasa. Hujung tahun menjadi detik yang paling sukar saya tangani.

Bicaralah tentang apapun; kena reject, gagal dalam peperiksaan, bisnes rugi, dibuang kerja, hasrat berpadu tenaga dengan beberapa sosok untuk membangun cita-cita tidak menjadi – ya, saya telah melalui semuanya, tapi tidak sesukar saya melalui detik-detik hujung tahun yang bakal tiba.

Semasa awal Disember, saya ada menitipkan posting. Saya sudah mula berpesan kepada diri sendiri untuk baik-baik saja saat melihat ke belakang kerana saya tahu, terlalu banyak yang saya hilang.

Kawan, rakan kongsi bisnes, projek-projek kecil yang sempat saya mulakan, circle yang pernah rapat, termasuklah beberapa hal yang cukup penting dan bermakna buat saya: buku, hakcipta, dan peluang-peluang yang akhirnya tak jumpa jalan pulang.

Semuanya dirampas 2022 dengan cara yang yang paling kejam.

“Tuhan seperti mempercepatkan jalan untuk aku dewasa ya?” tulis saya dalam jurnal peribadi. Merangkumkan semuanya dengan tanda tanya.

Bukan saya tidak pernah melalui hujung tahun yang sukar, tapi entah kenapa 2022 menjadi yang terpaling sukar.

Tahun ini saya hilang pekerjaan sekelip mata, saya gagal dalam beberapa hal, saya hilang kawan-kawan rapat yang hari ini ternyata amat janggal untuk saya hubungi semula, saya dianggap Thanos dalam universe seseorang yang ceritanya dijaja dan dibawa berlegar hingga sampai semula ke telinga saya (seberusaha itu ya kamu!).

Argh, terlalu banyak untuk saya bebelkan.

Dan semakin 2022 menghampiri hujungnya, saya menjadi semakin berdebar.

Saya berdebar memikirkan apakah graf yang naik-turunnya terlalu drastik ini merupakan pattern yang terus bergerak dan menanti saya di 2023 nanti?

Saya berdebar memikirkan apakah saya akan secara tidak sengaja mencipta lebih ramai musuh di 2023 nanti?

Saya berdebar memikirkan apakah saya akhirnya akan mengaku kalah dan berputus asa?

Saya berdebar memikirkan apakah sampai saatnya saya kehilangan sesuatu yang saya jaga, self-control, self-reflect, yang menjadikan saya saat melalui ribut apapun akan tetap keluar dengan baik-baik saja?

Bagaimana jika saya akhirnya patah sepatah-patahnya?

“Tapi kita harus terus menumbuh dan berkarya, kan?” begitu pesan saya kepada kawan-kawan (yang kini menjadi circle terdekat saya).

Dan seperti kata Tulus, “Kau bisa patahkan kakiku, tapi tidak mimpi-mimpiku.”

Yang saya pegang erat-erat menuju hari-hari yang berat ialah ini, bahawasanya saya, akan terus menumbuh dan berkarya.

Sepatah dan sehancur apapun detik yang pernah saya lalui, dan tentunya, yang bakal saya lalui lagi nanti.

Saya fikir takdir tidak tercipta secara satu garis sahaja. Di balik semua hal perih yang saya lalui, saya bisa membangun beberapa hal yang lain.

Saya berhasil memulakan Tentang Kita, tidak hanya sebuah jenama, tapi kini menjadi platform untuk saya berbagi kebaikan dan makna.

Di bawah Tentang Kita ada beberapa hal yang saya usahakan:

– Saya memulakan projek Kita Ada. Projek ini bercita-cita untuk membantu pesakit mental seluruh Malaysia. Setidak-tidaknya ada 322 pesakit mental yang telah berhasil didanai rawatannya di bawah projek ini.

– Saya menerbitkan buku sendiri. Judulnya Tentang Pergi. Kini setidak-tidaknya telah 5,000 naskhah terjual. Buku ini sedang diuruskan untuk diedar di kedai buku seluruh Malaysia. Insya-Allah akan ada pelancarannya di kedai buku tahun depan.

– Saya memulakan beberapa kelas terkait refleksi al-Quran (Ya, siapa yang mengenali saya sejak dulu, berkongsi tentang al-Quran telah menjadi passion yang sukar saya lepaskan). 

– Kelas Refleksi Surah al-Kahfi Ramadan tahun ini, dengan 766 peserta mendaftar. Kelas In-Depth Surah al-Fatihah, dengan 811 peserta mendaftar, dan terkini kelas Sembuh Bersama Surah Yusuf, dengan 1127 peserta yang telah mendaftar.

– Saya juga berhasil memulakan acara-acara kecil bersifat sharing session dengan tema gratitude. Sebanyak 2 acara sharing session di kafe-kafe berambiansi santai berhasil saya acarakan.

Ya, Tentang Kita sudah menjadi tempat teduh yang ternyaman. Di sini saya berprogres semaksimal mungkin. Saya belajar dan mengajar, saya memberi dan meraih, saya menapak dan membina.

Dalam masa setahun, Tentang Kita sudah mencatat revenue hampir Rm1j, sudah mempunyai tribe yang konsisten menyokong dan mendokong, dan sudah mempunyai beberapa produk dan projek yang membuahkan hasil.

Tentulah masih banyak yang harus diperbuat. Masih kurang itu ini, masih bersimpang-siur jalan-jalan untuk dilalui.

Tapi titik awalnya tetap jelas: saya bahagia.

Saya bahagia untuk terus bekerja, membangun produk, mengusahakan projek, menganjur acara, merangka strategi-strategi bisnes try and error sampai saya ketemu formulanya.

Saya bahagia berkeksperimen dengan banyak hal, dengan jaringan ekonomi gig yang luar biasa kemungkinan-kemungkinannya, dengan teknologi yang tak pernah surut inovasinya, dan dengan diri saya sendiri yang selalu obses mencipta peluang buat diri dan orang-orang sekeliling.

Dan saya percaya, ada sesuatu di tahun 2023.

Selain menyerah diri kepada takdir, saya merencana beberapa hal untuk saya capai (dan tidak mengapa jika saya gagal di akhirnya):

  1. Saya mahu membangunkan sebuah aplikasi terkait kesihatan mental. Memasuki dunia start-up dengan lebih berani dan mencipta ruangan untuk segala konten berkaitan healing, al-Quran, buku, podcast, agar ia dapat dijelmakan dalam satu platform.
  2. Saya mahu mengeluarkan lebih banyak buku terkait swacinta. Saya mahu membuktikan bahawa membaca ialah healing terbaik yang boleh sama-sama kita teroka.
  3. Saya mahu menulis sebuah novel cinta.
  4. Saya mahu terus menganjurkan lebih banyak kelas dan acara-acara santai. Entah kenapa, mendengar cerita-cerita para penggelut di luar sana, bertukar pandangan dan idea, berkongsi beberapa hal yang saya tahu, sangat menyeronokkan.
  5. Saya mahu sasarkan lebih ramai pesakit mental terbantu dari projek Kita Ada dengan terus memperkemas crowdfunding yang telah saya mulakan.
  6. Saya mahu memperkecil closed circle saya.
  7. Saya mahu belajar lagi tentang bisnes dan marketing, terutama tentang funnel dan ads strategy.
  8. Saya mahu menelaah dengan lebih mendalam tafsir Mafatihul Ghaib karya Imam al-Razi.
  9. Saya mahu mengembara ke luar negara setidaknya sekali, setidaknya Indonesia.
  10. Saya mahu lebih kaya.

Walaupun rencana tahun lepas pun tak tercapai semuanya, saya masih gigih merencana tahun 2023 lagi.

Seperti kata Tulus lagi:

“Kau bisa patahkan kakiku

Patah tanganku rebut senyumku

Hitamkan putihnya hatiku

Tapi tidak mimpi-mimpiku”

Dan bukankah di balik semua rencana, kita sedang berdoa?

Tidak mengapa semuanya tak menjadi, tak menjelma, kerana doa tak pernah menetap waktu bila ia akan tiba. Doa ialah kerja menyerah, percaya, bahawa ada sesuatu di tahun 2023. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: