Membaca Secrets of Divine Love dan Menyanggah Beberapa Anggapan Tentangnya

Ini ialah artikel jawapan saya kepada artikel oleh Saudari Maria berkenaan SODL. Boleh baca di sini terlebih dahulu.

Sebelum kita memulakan perbincangan ini, suka saya ingatkan bahawa perbincangan sebegini haruslah datang dengan kesedaran bahawa kita semua ingin mencari sesuatu kebaikan dan manfaat buat diri kita, bukan sebaliknya.

Perbincangan apapun tak boleh mengarah kepada kebencian, saling menyalahkan dan saling mengharam dan menghukum. Budaya ini tidak bagus untuk akal dan hati kita.

Saya akan menulis menerusi dua perspektif. Satunya, sikap sebagai pembaca. Keduanya, kandungan buku tersebut.

Perspektif pertama ialah sikap sebagai pembaca.

Saya tertarik dengan apa yang ditulis oleh Saudari Maria berkenaan buku Secrets of Divine Love (SODL). Buku ini saya sering sarankan di mana-mana dan antara buku yang berulang kali saya sebut di pelbagai acara.

Saya pernah mendapat pesanan di kantung IG saya, menyanggah dan mengkritik malah meminta saya menarik semula saranan buku SODL ini kerana dakwaannya, buku ini telah memesongkan akidah umat Islam.

Bila saya tanya dengan lebih teliti, di mana bahagian yang dikatakan memesong akidah? Jawabnya, pada idea seolah-olah semua agama itu sama, di situ ada fahaman pluralisme yang cuba dibawa oleh penulis.

Saya tanya lagi, di mana yang dikatakan “seolah-olah” itu dan kenapa sebut “seolah-olah”? Lalu saya pun tanya lagi apa maksud pluralisme yang difahami?

Soalan saya kemudiannya tak dibalas.

Jujur saya hanya mahu bertanya dan memahami dengan lebih teliti. Kata “seolah-olah” ini sangat bahaya kerana ia mempamerkan sikap ketidaktelitian kita, dan sudah tentu ia bukan sebentuk hujahan.

Begitu juga dalam membaca apa-apa buku. Membaca seharusnya menjauhkan kita dari sikap mendakwa sesuatu berasaskan kepada “seolah-olah” atau “seakan-akan” ini. Membaca seharusnya menjadikan kita lebih terbuka dan berhati-hati.

Sekiranya sesebuah buku tersebut menyebut dengan jelas idea yang bertentangan, maka kita dialu-alukan untuk membahasnya. Itu bahkan sangat baik.

Contohnya seperti sebuah buku yang ditulis oleh Imam Ghazali, iaitu Tahafut al-Falasifah, kemudiannya dikritik dan disanggah dengan sangat cermat oleh Ibn Rushd menerusi bukunya Tahafut al-Tahafut.

Ini ialah contoh buku yang ideanya jelas dan kemudian dikritik idea itu. 

Kritik idea yang jelas ialah wacana yang baik. Tapi mengkritik dengan mendakwa buku sekian-sekian syiah, kafir dan sebagainya hanya kerana “seakan-akan” dan “seolah-olah”, saya fikir sebagai pembaca kita harus lebih baik dari itu.

Tuntasnya pada saya, menghukum dan mendakwa sesebuah buku sesat tanpa bukti yang jelas dan kukuh bukan amalan yang baik dan ia hanya menunjukkan kesempitan faham dan pemikiran kita.

Sekarang, mari kita pergi kepada perspektif kedua iaitu kandungan buku SODL ini.

  1. Tentang penulis yang didakwa syi’ah atau tasyayyu’, iaitu miring kepada idea-idea syi’ah.

Saya tidak dapat menemukan bukti yang jelas bagi dakwaan ini. A. Helwa sendiri tidak terlalu mendedahkan dirinya cuma di bahagian pengenalan, beliau beritahu dengan jelas;

“I choose Islam as my faith, but I offer you these words from the Qur’an not to change you, but to remind you how much you are loved by God.”

Kemudian dia sebut lagi, 

“I was born Muslim..” sebelum dia cerita dia tak solat sebab dia tak tahu kenapa kena solat dan sebagainya sampailah dia jumpa Tuhan dalam pencariannya.

Justeru untuk mendakwa bahawa dia bukan Islam, saya rasa itu sangat tidak berhati-hati.

  1. Idea bahawa Allah milik semua agama (yang dikatakan pluralisme agama).

Betulkan saya jika saya salah. Awal-awal lagi A. Helwa sebut, idea yang diketengahkan ialah “Divine Love”. Beliau mahu mendedahkan bahawa cinta Allah itu tertempias kepada semua makhluk, bukan orang Islam sahaja.

Adakah ini salah? 

Ibn Abbas menyebutkan nama Allah “al-Rahman” itu merujuk kepada “al-Nas” iaitu manusia secara keseluruhannya. Manakala “al-Rahim” merujuk kepada orang Islam secara khususnya.

Bahkan dalam al-Qur’an pun sebut banyak tempat “ya ayyuhannas” (wahai manusia), dan juga ada banyak tempat sebut wahai orang Islam, wahai orang beriman dan sebagainya.

Allah sangat teliti dalam firmanNya. Ada bahagian di mana mesej al-Quran itu untuk manusia secara keseluruhannya dan ada bahagian untuk orang Islam sahaja dan ada untuk orang beriman sahaja.

Justeru idea bahawa al-Quran itu juga untuk orang bukan Islam saya fikir tidak salah dan ia tidak bertentangan. Begitu juga idea bahawa cinta Allah itu milik manusia keseluruhannya. Ia tak salah bahkan menunjukkan kebesaran cinta Allah yang tak tergambarkan.

Kita tak boleh memonopoli cinta Allah dengan mengatakan Allah itu hanya untuk kita bukan untuk orang lain. Bin Bayyah menyebutkan ini satu bentuk kemelampauan spiritual dan ia boleh membimbing kepada mengkafirkan orang lain.

Cuma dari sudut cinta, Al-Ghazali kata dalam buku “Aja’ibul Qalbi”, cinta kita dengan Allah sangat personal dan ekslusif tetapi ia tidak mengehadkan cinta Allah itu kepada orang lain.

Saya fikir ini benar. A. Helwa juga mengetengahkan idea ini dan sebenarnya ini bukan idea asal A. Helwa.

Ini idea yang diketengahkan oleh Al-Ghazali, Al-Farabi, Rumi, Syams Tabrizi, begitu juga beberapa tokoh spiritual sunni yang lain.

Kalau kita baca Rumi dengan syair-syairnya yang metaforik, lagi susah kita nak tanggapinya kalau kita tidak punya sikap terbuka.

  1. Idea tentang Allah meniupkan ruhNya dan menjadikan kita dan Allah ini “union” (satu).

Ini satu perbahasan panjang dalam wacana sufisme. Kita boleh bincang dan dialog tentang ini di ruang yang lain sebab saya nak fokus tentang buku ini.

Saudari Maria mengatakan beliau membaca SODL bersama Tafseer Soorah Al-Hujurat karya Dr Abu Ameenah Bilal Philips dan beliau menyebut;

“The tafseer clarified aqeedah issues that I found in Divine Love…”

Kemudiannya beliau menyenaraikan beberapa quotes dari SODL yang bersangkut dengan “aqeedah issues” seperti yang beliau katakan.

Antara ialah pada ms 29, A.Helwa mengatakan;

“He blew His spirit into your mould of clay” (page 29), we are “fashioned with the breath of God’s spirit” (page 46), “God then tells the angels to prostrate not to the form of Adam, but to the spirit of God reflected within him” (page 50) and “we are reminded that had Allah not blown His breath into us we would be nothing but dead earth” (page 189).

Kepada semua pembaca SODL, saya nak ajak kita semua untuk selak semula mukasurat yang disenaraikan.

Pada mukasurat ke-29, A. Helwa menuliskan “blew His spirit into your mould of clay” kemudian A. Helwa meletakkan kurungan ayat al-Quran yang dirujuk (tidak disalin oleh Saudari Maria) iaitu 15:29, yang mana maksudnya:

“When I have fashioned him (in due proportion) and breathed into him of My spirit, fall ye down in obeisance unto him.” (terjemahan Yusuf Ali).

“blew His spirit” merujuk kepada ayat وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِي dan “mould of clay” ialah kita manusia yang memang diciptakan dari tanah.

Secara asasnya, A. Helwa menyebut semula apa yang disebut oleh Allah dalam al-Quran dan kemudiannya, di dalam mukasurat yang sama di perenggan seterusnya, A. Helwa menerangkan;

“… you are the product of a divine love… the love of God purposely overflowed to create you and everything in existence.”

Sebenarnya A. Helwa menerangkan bahawa yang dikatakan “blew His spirit” itu ialah bagian dari cinta Allah, bukan zat Allah dan sudah tentu ia bukan “union of dzat” atau apa-apa yang melibatkan zat Allah.

Kejap saya dah letih nak mengarang ni. Minum air kejap ya. 

Saudari Maria juga menuliskan,

“This verse does ot mean that Allah blew a part of His spirit into Adam and that this spirit yearns to rejoin the main spirit from whence it came as has been claimed. Nor does the verse in referece to Maryam, the mother of Eesa, “She was chaste so We blew in her from Our spirit” from surah Al-Anbiya’, verse 91.

Sebenarnya apa yang ditulis oleh Saudari Maria ini betul tetapi untuk mengatakan A. Helwa mengatakan sedemikian, itu kurang tepat kerana A. Helwa seperti yang saya tuliskan di atas, ia merujuk kepada cinta Allah (sifat Allah) yang ‘reflected’ kepada makhlukNya.

Saya fikir A. Helwa sangat berhati-hati sebab A. Helwa tak sekalipun menyebut perihal wehdatul wujud apalagi perihal zat Allah bersatu dengan makhluk. Sebaliknya beliau menghuraikan apa yang dihuraikan oleh Mufassir Imam al-Razi, iaitu sifat Allah yang menaungi hamba-hambaNya.

Kemudiannya kita beralih ke mukasurat 189 SODL seperti yang disalin semula oleh Saudari Maria;

Saya tak pasti kenapa Saudari Maria tak menyalinkan sepenuhnya teks tersebut terutama selepas tanda “–“, tapi tak apa saya salinkan:

“With our heads pressed upon the ground, we are reminded that had Allah not blown His breath into us we would be nothing but dead earth – void of life and consciousness. From here, from our lowest depths, from the very soil of our humble creation, the seeds of true sincerity and faith begin to blossom.”

Kemudian, A. Helwa menyambung lagi,

“When we rise up from the fetal position of prostration to the sitting position, we are reminded of how Allah pulled us out of the earth and gave us life”.

Kalau kita baca perenggan penuhnya, kita tahu maksud yang nak disampaikan oleh A. Helwa itu apa. A. Helwa nak beritahu kita bahawa di sebalik solat kita itu besar maksud dan falsafahnya (dan A. Helwa tak sebut yang dia solat pakai batu).

Lagi pula, ini bab khas A. Helwa cerita pasal solat. Tak ada kaitan langsung dengan isu “ruh” atau “kesatuan zat” atau apa.

“… blown His breath” ini pula banyak perbahasannya. Imam Tabari menyebutkan dalam tafsirnya ia merujuk kepada kekuasaan (qudrah) Allah.

4. Saya nak sentuh sedikit berkenaan apa yang ditulis oleh Saudari Maria iaitu, 

“… we should only describe Allah with the words that He used to descibe Himself, that is from the Quran and the sunnah of Prophet Muhammad SAW…”

Ini pokok perbahasannya. Kalau kita nak describe Allah dengan words yang Allah firmankan, kita perlu memahami teksnya melalui bahasa asalnya, iaitu bahasa Arab.

Manakala terjemahan ke bahasa lain ialah ijtihad ulama’. Terjemahan English Yusuf Ali berbeza dengan terjemahan Dr Ghali misalnya. 

A. Helwa menuliskan begini, “fashioned with the breath of God’s spirit” yang mana ia sama dengan terjemahan Yusuf Ali.

Manakala beberapa perkataan yang A. Helwa guna seperti “storehouses of His grace” (page 138), “before we step into the holy banquet of God” (184) dan sebagainya, maaf saya tak pasti kenapa ia bermasalah.

“Banquet of God” misalnya adalah perumpamaan yang digunakan oleh Rumi dalam syair-syairnya. Saya rasa metafora bahasa ini tidak perlu dijadikan isu melainkan ia menyampaikan maksud yang menyalahi akidah.

Kalau tidak, tidak wujudlah Rumi, Tabrizi, Hafez, Hallaj, dan pengkarya-pengkarya yang lain. Al-Ghazali pun mengatakan bahawa al-Quran itu bagaikan “lautan”.

Aspek bahasa puitis ini, kalau kita tak faham, tak perlu kita larang orang gunakannya. Orang lain boleh faham dan boleh selami maknanya.

Contohnya bila Rumi bersyair “baza… baza” maksudnya “kembalilah… kembalilah ke khemah Allah” itu maksudnya kembalilah semula ke rahmat Allah, cinta Allah.

Kemudian Rumi kata lagi, “semua orang ada tempat di khemah ini” maksudnya setiap orang yang buat salah akan ada tempatnya di sisi Allah kalau dia kembali.

Pada saya itu indah dan mendalam. Kalau kita tak merasainya tak apa, masing-masing punya gaya faham berbeza. Tapi usah mengatakan gaya bahasa itu salah dan lari akidah.

Akhir sekali, SODL bukan sebuah buku yang mahu kita berdebat tentang ideologi penulisnya, apalagi mempersoal akidah siapa-siapa.

Saya fikir SODL ialah buku yang mengajak kita mencari cinta Allah pada setiap perkara. Itulah keindahan dan mesejnya. Mesej ini sebenarnya dah lama dibawa oleh al-Ghazali dalam Ihya’. 

Kita hari ini hidup dalam dunia yang penuh dengan “distraction”, kita sembahyang pun kadang terlupa rakaat berapa. Mesej-mesej spiritual ini mengajak kita untuk “internalize” balik sebab apa kita beribadat dan sebagainya.

Tetapi saya faham jika pada sesetengah orang, SODL tak mampu ditanggapi. Jalur akidah yang sedikit keras dan menolak sebarang interpretasi sudah wujud sejak dulu dan itu biasa.

Cuma, ia soal cabang. Pokoknya ialah kita sama-sama mahu merasai nikmatnya mencintai dan dicintai Allah dan berjalan menujuNya.

Maaf terpanjang dan maaf jika ada khilaf pada huraian saya. Mohon diperbaiki dan ditegur. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: